KUALA LUMPUR: Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2024 yang julung kali diadakan di Kuala Lumpur telah berjaya menarik penyertaan lebih 800 peserta dari ASEAN, Korea, Australia dan United Kingdom dengan matlamat untuk menangani isu-isu penting berkaitan inovasi digital dan kawal selia.

Bertemakan ‘Aligning Innovation with Safety for a Sustainable Future,’ persidangan yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ini turut dirasmikan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Dalam satu kenyataan MCMC berkata, perkongsian peserta yang terdiri daripada pengawal selia dan pakar bidang subjek adalah penting bagi memastikan sektor telekomunikasi terus berkembang.

"Ia juga bagi membentuk masa depan yang menyaksikan ekosistem digital kekal sebagai daya penggerak untuk ketersambungan dan inovasi," kata kenyataan itu yang dikeluarkan, hari ini.

Persidangan ini turut menyaksikan ucap tama daripada Ofcom berkenaan dengan Akta Keselamatan Dalam Talian UK, panel kawal selia ASEAN mengenai kemajuan e-dagang, perbincangan berkaitan teknologi-teknologi baharu muncul seperti Kecerdasan Buatan dan Blockchain serta strategi-strategi untuk merapatkan jurang digital bagi mempromosikan ketersambungan inklusif.

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan visi pasca 2025 untuk komuniti ASEAN yang memberi penekanan kepada aspek ketahanan, kestabilan dan keamanan.

Susulan itu, Malaysia melakukan usaha berterusan untuk membina sebuah komuniti berdaya tahan termasuklah meningkatkan usaha keselamatan siber yang memberi keutamaan kepada keselamatan dalam talian.

Kerajaan baru-baru ini juga telah meluluskan Akta Keselamatan Siber 2024 bagi memperkukuh kerangka keselamatan siber negara.

Sebuah kerangka yang konstruktif juga telah dimuktamadkan kerajaan bagi mengawal selia platform dalam talian untuk melindungi mereka berusia 13 tahun ke bawah daripada ancaman negatif akibat pendedahan awal penggunaan media sosial;.